|
|
|
|
|
|
Seruan meneruskan REFORMASI kian meresap di kota dan di desa. Demonstrasi aman, penyebaran maklumat dan penerangan kepada rakyat diteruskan. Melihatkan meledaknya semangat rakyat mara, maka Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad kian goyah dan gelisah. Laksana nakhoda tenat menghadapi gelombang, beliau dengan cara ganas dan kasar sekali cuba mengemudi bahtera. Dengan dukungan setia tanpa bicara, Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor menerima arahan dan terus membelasah siapa sahaja, mengharamkan perhimpunan, melarang ceramah - yakni, melakukan apa jua bagi menggagalkan agenda reformasi!
Sayugia diingat wahai memanda Perdana Menteri, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Polis adalah senjata menjamin keamanan dan keselamatan negara; bukannya perkakas yang boleh dimanfaatkan sewenang-wenang untuk mempertahankan kedudukan peribadi, kepentingan keluarga atau kekayaan yang dipunggah secara haram dari rakyat. Kini, penangkapan dilakukan terhadap siapa sahaja yang berani menegur dan mengkritik Perdana Menteri, rasuah dan kerakusan kuasa beliau. Jentera polis kini merupakan satu-satunya kekuatan yang wujud bagi mengawal kedudukan Dato' Seri Dr. Mahathir. Rakyat umumnya kian muak dengan celoteh dan leteran beliau.
Gerakan Reformasi cuba disamakan, sinonim dengan komunis atau penjenayah. Saya ulangi bahawa ISA tidak boleh digunakan untuk mematahkan semangat perjuangan Reformasi. Bahkan ISA sendiri merupakan undang-undang warisan penjajah yang usang, senjata ampuh menekan dan menindas perjuangan rakyat. Dato' Seri Dr. Mahathir hanya bertahan dengan menggunakan senjata penjajah; ISA, ugutan dan menakut-nakutkan rakyat. Bahkan media cetak dan letronik milik kerajaan digunakan sebagai alat propaganda murahan, memperbodoh rakyat. Sebahagian dari pengarang bukan sekadar dipaksa atau diugut bahkan bersekongkol dengan penguasa kaya yang rasuah dan mendapat habuan langsung. Rakyat umumnya lebih pintar dan celik dari apa yang dijangkakan oleh golongan kecil pemimpin negara. Justeru itu, mereka memilih internet dan Harakah umpamanya dari media propaganda tanpa etika.
Soalnya, mengapa gerun dan gusar dengan reformasi? Pertama, kita memilih islah - pembaharuan secara aman. Hormati keluhuran undang-undang; jangan peralatkan jentera perundangan dan badan kehakiman bagi memenuhi agenda peribadi atau politik. Pertahankan hak dan kebebasan rakyat, bersuara, berpersatuan dan tidak mengugut dan menindas sebarangan. Kedua, hapuskan rasuah dan penyelewengan dari kalangan yang menggunakan kuasa dan kedudukan mengaut keuntungan, merompak hak rakyat, memperkayakan golongan kecil dan mempapakan negara! Khazanah negara harus diagih dengan saksama dan bukannya digondol sebanyak mungkin untuk keluarga sendiri dan suku-sakat (kroni). Utamakan kepentingan rakyat, yang berpendapatan rendah dan sederhana di kalangan semua kaum. Ketiga, peliharalah keutuhan agama, muliakan ulamanya, pupuk akhlak dan etikanya. Tidak akan terdapat keberkatan dari sikap gelojoh dan rendah akalbudi yang membelakangkan prinsip akhlak dan tuntutan agama. Dengan mempertahankan nilai murni inilah dapat dipupuk perpaduan antara kaum dan agama berdasarkan prinsip karamah insaniyah.
Nyata sekali, yang merasa tergugat dan cemas dengan gerakan Reformasi ialah manusia kejam dan rakus; rasuah dan menyeleweng; rendah moral dan tidak menjiwai prinsip keadilan! Mudah-mudahan kita terhindar dari sifat keji dan jelik itu.
Lantaran itu, sementara saya menjadi mangsa kezaliman, merengkok di penjara Sg. Buloh dengan pagar besi berduri; saya akan terus berdoa kehadrat Allah s.w.t. dan menyeru kepada saudara-saudari:
Jangan benarkan diri dan keluarga dari terperangkap menjadi mangsa penipuan media propaganda murahan; tekanan atau ugutan. Percayalah, tidak ada kuasa yang mampu menahan kemaraan tuntutan rakyat. Sejarah menunjukkan diktator gagah dengan segala balatentera dan khazanah akhirnya ditumpaskan juga. Kekayaan yang dikaut secara haram tidak kekal atau dapat ditelan selesa oleh suku-sakat yang akan berhadapan degan berang rakyat.
Istiqamahlah, teguhkan tekad
dan teruskan berjuang menyalakan obor Reformasi! Pertahankan maruah diri
dan keluarga serta masa depan anak bangsa dari terus dinodai. Sebarkan
maklumat seluas mungkin - di tempat kerja, kilang, sekolah, kawasan perumahan,
setinggan dan di desa. Buktikan bahawa anak Malaysia mampu berjuang dengan
semangat waja - tanpa diupah atau dipuja - untuk REFORMASI!
Wassalamualaikum wa rahmatullahi
wa barakatuh
dan salam sejahtera.
Bilik kurungan (lokap)
Mahkamah, Kuala Lumpur.
(Anwar Ibrahim)