bil. 3
menegakkan keadilan
23 Oktober 1998 
   MUKASURAT 1/1

 
Mr Anwar's injuries may
have been self-inflicted
|
Dato' Seri
Dr. Mahathir Mohamad
 
ADAKAH UMNO MASIH RELEVAN?
 
Mahathir dan mahligainya yang sedang dibina
dengan perbelanjaan RM200 juta

UMNO telah ditubuhkan sebagai satu usaha menyatukan orang Melayu dari negeri-negeri Melayu yang berbeza untuk memperjuangkan kemerdekaan negara dan juga hak dan kedudukan orang Melayu. Pejuang-pejuang UMNO yang awal merupakan mereka yang didorong oleh idealisma dan keinginan untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Kebanyakan mereka terdiri dari guru-guru dan orang kampung. 

Kini wajah dan ciri UMNO telah berubah. Perubahan ini amat ketara sejak Mahathir Mohammad menjadi Presiden UMNO. Barah politik wang mula menular apabila beliau menjadi pemimpin UMNO. Kini Mahathir telah berjaya menginstitusikan fitnah dan pembohongan sebagai sebahagian dari budaya berpolitik di dalam UMNO. Selain dari itu, kita juga dapati semakin ramai mereka yang menganggotai UMNO hari ini di dorong oleh harapan untuk mendapatkan habuan tertentu. Ada yang menggunakan kedudukan dalam parti sebagai laluan mudah untuk mendapatkan kontrak dan perniagaan. UMNO kini lebih menjadi wadah untuk mengumpul kekayaan untuk diri. Idealisma perjuangan telah hilang. Yang wujud hanyalah slogan lama yang digunakan untuk mengelabui mata rakyat. 

Pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan seterusnya dari UMNO telah mengejutkan masyarakat Malaysia. Berbagai fitnah dan tuduhan dilemparkan terhadapnya. Namun, kesemua ini gagal menghilangkan keyakinan rakyat terhadapnya. Kajian yang dilakukan oleh Tan Sri Lim Kok Wing, setelah diarah oleh Mahathir, mendapati 80% orang-orang Melayu tidak mempercayai tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar. Satu tinjauan melalui internet pula mendapati hanya 0.6% dari mereka yang terbabit mempercayai semua tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar. Krisis ini juga telah menyebabkab 90.8% dari responden menyatakan keyakinan mereka terhadap UMNO telah merosot. Hampir 83% menyatakan Mahathir patut berundur dan hanya 7.1% menyatakan mereka akan mengundi Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang. 

Konspirasi terhadap Anwar merupakan kemuncak kemerosotan UMNO. Keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu, terhadap UMNO berada pada tahap terrendah dalam sejarahnya. UMNO hari ini tidak lagi dilihat sebagai parti yang memperjuangkan satu idealisma. Sebaliknya ia hanya sebuah parti yang dicengkam oleh seorang diktator dan didokong oleh para pengampu dan Pak Turut yang hanya mementingkan periuk nasi mereka sahaja. Rakyat mula melihat UMNO hanya sebagai batu loncatan Mahathir untuk menjaga kepentingan diri, suku sakat dan kroninya. Kepentingan dirinya disamakannya dengan kepentingan negara. "Keselamatan negara" digunakan sebagai helah untuk mengekalkan kekuasannya. Dunia kini berada di ambang di alaf baru. Alaf baru akan dibentuk oleh teknologi maklumat dan pengaliran berbagai maklumat dengan lebih cepat. Manusia yang ingin maju perlu mampu menggunakan berbagai maklumat yang banyak ini. Namun, Mahathir ingin memastikan rakyat Malaysia terus disogok dengan hanya propagandanya. Alaf baru ini juga menyaksikan perubahan politik dunia dan juga serantau yang menuju ke arah masyarakat yang lebih terbuka , saksama, demokratik dan bebas. Namun Mahathir ingin membawa Malaysia sepuluh langkah ke belakang dengan terus memaksakan pemerintahan feudalnya yang mengutamakan suku sakat dan kroninya. 

Demokrasi ala Mahathir ialah demokrasi di mana hanya dia berhak bersuara, termasuk menabur fitnah, dan hanya dia yang betul. Media tempatan hanya berperanan untuk mengasuh egonya. Kesaksamaan ala Mahathir ialah kesaksamaan berkasta. Rakyat disuruh berkorban tetapi wang rakyat digunakan untuk menyelamatkan anaknya. Rakyat disuruh berjimat tetapi RM200 juta digunakan untuk membina mahligai barunya di Putra Jaya. Perpaduan ala Mahathir ialah perpaduan yang terhasil dari ugutan ditarik kontrak perniagaan dan pendedahan skandal masa lampau. Hakikatnya, sejak pemerintahan Mahathirlah orang Melayu semakin berpecah-belah. Seruannya supaya orang Melayu merapatkan saf disebalik kepimpinannya hanyalah untuk mengekalkan kekuasaannya. Mahathir mengutuk kapitalis Barat tetapi mengasuh dan membela kapitalis di kalangan suku-sakat dan kroninya. 

Sekiranya ini berterusan, keyakinan rakyat yang semakin tipis terhadap UMNO akan lenyap sama sekali. UMNO tidak lagi berhak mengaku ia sebagai parti yang mewakili kepentingan orang Melayu atau rakyat Malaysia. UMNO tidak lagi relevan kerana ia tidak lagi mempunyai idealisma. Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, tidak lagi boleh menaruh harapan dan kepercayaan kepada UMNO untuk membela kepentingan mereka. Rakyat tidak memerlukan dan tidak akan menyokong parti yang hanya menjadi alat segolongan kecil kapitalis feudal. Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa bala yang paling besar yang melanda UMNO hari ini ialah penerusan Mahathir sebagai Presiden parti. 

Satu-satunya cara untuk ahli-ahli UMNO memastikan ia masih relevan dan mendapat kepercayaan masyarakat ialah dengan menuntut supaya Mahathir berundur dari memimpin parti. Sekiranya ini gagal dilakukan, UMNO akan terpinggir hanya kerana seorang ketua bermentaliti feudal. Ahli-ahli UMNO perlu menghidupkan semula tradisi demokrasi yang telah dibina oleh pengasas-pengasas parti. Pemimpin, khususnya presiden parti, tidak boleh dibiarkan menganggap dirinya sebagai dewa yang tidak boleh disoal atau dipertanggungjawabkan. Idealisma perjuangan UMNO perlu dikembalikan. Inilah sebenarnya agenda reformasi yang dilaung-laungkan rakyat. 

Oleh kerana terdapat pemimpin pusat, negeri dan bahagian mempunyai kepentingan sendiri atau telah dijerat Mahathir, ahli-ahli biasa perlu bersedia bangun bersuara dan menuntut Mahathir supaya berundur. Hanya ini dapat memastikan UMNO selamat dan terus relevan.

 
EDISI LAIN
BIL. 1
BIL. 2
BIL. 4
BIL. 5
BIL. 6
BIL. 7
BIL. 8

halaman utama

ke bilangan 2 mukasurat 3
1
ke bilangan 4