bil. 7 |
|
20 November 1998
|
|
Kini rakyat berhak meragui sebarang keterangan atau pengakuan
yang diberikan saksi yang dibawa polis. Adakah pengakuan diliwat oleh Munawar
Anees dan Sukma boleh diterima? Malahan, kini kita sepatutnya meragui keterangan-keterangan
dan pengakuan dalam kes-kes lain. Mungkinkah terdapat mereka yang tidak
bersalah didapati bersalah dan dihukum kerana kaedah yang digunakan PDRM
memaksa mereka mengaku bersalah?
Kita juga bimbang dengan pengakuan Mohd Said bahawa beliau mungkin sanggup
berbohong jika diarah Perdana Menteri. Malahan, keterangannya semasa perbicaraan
berubah-ubah. Apabila ditanya mengenai satu laporan yang diserahkannya
kepada Mahathir, Mohd Said mula-mula menafikan kewujudan laporan itu. Hanya
selepas disoalbalas dan peguambela mengemukakan keratan dari New Straits
Time yang menyatakan polis telah menyerah satu laporan kepada Mahathir
barulah Mohd Said mengaku wujud laporan berkenaan.
Satu perkara yang menarik perhatian ialah keterangan dari anggota polis yang menyatakan dia percaya kepada dakwaan Azizan. Walau pun tiada bukti dikemukakannya atau Azizan, akhbar tempatan melaporkan seolah-oleh kepercayaan seorang anggota polis merupakan bukti kukuh salahlaku tertuduh. Sekiranya, "kepercayaan" seorang anggota polis sudah memadai mensabitkan kesalahan seseorang, amat mudahlah untuk menghukum sesiapa sahaja. Satu-satu hujah yang dikemukakan untuk menyokong kepercayaan ini ialah sumpah Azizan dengan Surah Yasin. Azizan dikatakan bersumpah bahawa segala tuduhannya betul dan dia melafazkan, dengan memegang Surah Yasin, bahawa sekiranya dia berbohong kecelakaan akan menimpanya. Satu fakta yang tidak dilaporkan akhbar ialah bahawa isteri Azizan telah terbunuh dalam satu kemalangan selepas dia membuat sumpah ini. Mungkin ramai dari kita akan menganggap dan mempercayai bahawa Azizan ditimpa bala dari sumpahnya yang paslu. Namun, kepercayaan kita ini tidak akan diterima sebagai bukti oleh mahkamah atau dilaporkan oleh media tempatan.
|
|
![]() |
|